Thursday, May 11, 2017

AMARAN SPRM KEPADA UMNO

Putrajaya, 11 Mei 2017 - SPRM dengan lantangnya telah mengeluarkan amaran secara berhemah kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bersempena sambutan ulang tahunnya yang ke-71 pada hari ini.

Amaran berhemah ini secara tidak langsung adalah bertujuan mengajak ahli-ahli UMNO untuk bersama-sama SPRM memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa. SPRM mahu parti ini bersih dan dapat memimpin negera ke arah negara bebas rasuah tahun 2020.

Amarannya berbunyi,

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada parti politik terbesar negara, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bersempena sambutan ulang tahunnya yang ke-71 pada hari ini.

Sebagai sebuah parti politik yang menjadi teras dan tunjang kepada pemerintahan negara dengan jumlah kerusi yang terbanyak, pemimpin-pemimpinnya berperanan penting dalam merangka dasar pentadbiran negara bagi pembangunan dan kemajuan negara.

Sebagai pemimpin, ahli-ahli UMNO juga merupakan harapan masyarakat untuk melaksanakan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan bagi memelihara kepentingan dan kesejahteraan mereka.

Justeru, pemimpin-pemimpin ini perlulah memastikan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan dilaksanakan dengan penuh berintegriti serta menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan rasuah dan salahguna kuasa.

SPRM berharap pemimpin-pemimpin ini akan mengambil serius tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dan melaksanakannya sebaik mungkin supaya masyarakat dapat menikmati manfaat yang disediakan oleh kerajaan untuk mereka.

Pemimpin-pemimpin UMNO juga perlu memberi penekanan terhadap aspek memerangi rasuah dan salahguna kuasa agar dapat menjadi contoh yang baik kepada generasi yang akan memimpin negara ini pada masa akan datang.

Selain itu, pemimpin-pemimpin ini juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang bukan sahaja sejahtera tetapi juga beretika dan tidak sesekali terlibat dengan gejala rasuah dan salahguna kuasa.

Justeru itu, SPRM berharap agar UMNO akan dapat memberikan sokongan dan menjadi pendukung kuat kepada Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (GERAH) yang dilancarkan oleh SPRM baru-baru ini.

SPRM turut berharap agar keseluruhan ahli dan pemimpin UMNO akan turut bersama-sama SPRM dalam segala usaha untuk membersihkan Malaysia daripada anasir rasuah dan salahguna kuasa serta menjadi penggerak utama kepada hasrat SPRM untuk menjadikan "Rasuah Musuh Nombor 1 Negara".


Petikan daripada kenyataan media SPRM bertarikh 11 Mei 2017.

No comments:

Post a Comment

ZAHIR KEMBALI KE SPRM UNTUK HARI KEDUA, SHAHRIR HADIR MEMBANTU SIASATAN KES 1MDB

Datuk Seri Zahir dilihat memasuki perkarangan lobi SPRM bagi menyambung rakaman percakapan berkaitan 1MDB pada hari ini. Hari ini adala...