SUNGAI PETANI 5 Julai – Dua anggota polis yang menerima sijil penghargaan kerana menolak suapan, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes meminta rasuah sebanyak RM10,000 daripada ah long, April lalu.
Kedua-dua anggota berpangkat koperal yang berusia 34 dan 37 tahun itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin di Mahkamah Majistret di sini.
Suspek yang bertugas di unit kereta peronda (MPV) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Suspek ditahan di pejabat SPRM pada kira-kira pukul 2 petang semalam selepas mendapat laporan daripada pengadu yang menjalankan kegiatan peminjaman wang.
Wang rasuah RM10,000 itu dikatakan diminta sebagai habuan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pengadu terbabit.
Akhbar pada hujung Mei lalu melaporkan dua anggota polis dari IPD Kuala Muda menerima sijil penghargaan atas tindakan menolak wang rasuah daripada dua lelaki yang membawa poster pinjaman wang ceti haram.
Dilaporkan kedua-duanya menolak wang rasuah RM1,290 yang ditawarkan selepas menahan ceti haram tersebut ketika melakukan rondaan harian di sekitar pusat beli belah terkenal di Bandar Amanjaya, di sini pada 11 April lalu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/video-2-anggota-polis-penerima-sijil-direman-1.499577#ixzz4m2RVK5zX
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment